Salam. :)
Actually cerpen ni dah pernah tampal kat sini tapi lepas tu saya buang sbb nak hantar contest. Tapi sebab dah
Enjoy reading!
~~~~
Aku tersesat menuju hatimu
Beri aku jalan yang indah
Izinkan kulepas penatku
‘Tuk sejenak lelap di bahumu
Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya...
SEKEPING
kertas yang masih dalam genggaman, aku letakkan perlahan-lahan di atas katil.
Pandanganku kini terarah ke segenap sudut ruang kamar ini, kamar yang telah
menjadi saksi cintaku bersama Fakhrul. Dan kini, kamar ini juga yang bakal menjadi
saksi perpisahan dua hati yang saling mencintai. Perlahan, langkah kaki kuatur
menghampiri pintu bilik. Beg yang terletak di tepi pintu itu aku bawa keluar
bersama. Bagai ternampak-nampak setiap adegan yang pernah aku lalui bersama
Fakhrul di segenap sudut rumah ini. Setiap gelak tawa, gurau senda dan suka
duka kehidupan kami bersama.
Aku menunduk menahan tangis. Kolam
mataku basah tiba-tiba. Ternyata, aku gagal lagi dalam membendung perasaan
sendiri. Mana mungkin aku mampu melupakan semuanya begitu saja? Aku tahu semua
itu sukar. Teramat sukar bagiku. Tetapi apa lagi pilihan yang aku ada? Aku
sudah tidak mampu lagi untuk terus bertahan di sini, mempertahankan mahligai
yang boleh roboh bila-bila masa saja.
Aku memegang dada yang terasa perit.
Sekuat hati aku bertahan. Aku tidak mahu menangis lagi. Cukuplah selama ini aku
menjadi teman setia sang air mata. Mulai saat ini, aku harus belajar untuk
hidup tanpa dia di sisi. Langkah kuatur perlahan ke arah pintu rumah. Perlahan
aku menguak daun pintu. Sebelum berpaling keluar, sempat aku menoleh sekali
lagi, memerhati setiap sudut ruang dalam rumah itu. Seolah-olah mengharapkan
dinding putih yang kaku itu akan menghalang langkah kakiku. Tersenyum pedih
dengan kebodohan sendiri, aku akhirnya menguatkan hati untuk melangkah keluar.
‘Ya Allah... redailah pemergiaanku
ini. Maafkan aku kerana terpaksa meninggalkan dia. Ini bukan pintaku... tapi
aku tiada pilihan lain lagi...’
“DIA
tahu?”
Soalan Munirah itu aku jawab dengan
gelengan lemah. Terdengar Munirah mengeluh. Sebelah tangannya mencekak pinggang
sambil merenung wajahku.
“Kau tahu tak apa kau buat ni? Kau
sedar tak, Sha?”
Aku angguk pula. Namun kepalaku
masih lagi tunduk, tidak berani menentang renungannya.
“Tapi dia tu suami kau! Kau sedar
tak dosa seorang isteri keluar rumah tanpa izin suami?” Suara Munirah naik
tinggi.
Aku mengangkat muka. “Habis kau nak
aku buat apa, Mun? Terus tinggal kat situ macam tunggul kayu?” Wajah Munirah
kurenung dengan pandangan kabur. “Malam ni...” Suaraku tersekat-sekat. “Malam
ni... dia akan nikah dengan Yurul. Atau mungkin aku patut kata... dia orang
berdua dah pun sah jadi suami isteri?”
Tiada jawapan daripadanya. Munirah
melabuhkan duduk di depanku. Kalau tadi wajahnya tegang, kini wajah itu berubah
redup, penuh dengan simpati. Dia menarikku ke dalam pelukannya. Air mata yang
tadinya aku tahan, kini sudah tak terbendung lagi. Sepuas-puasnya aku menangis
di bahunya.
“Nangislah, Sha... aku ada kat sini
untuk kau...”
Esakanku makin kuat. Betapa peritnya
menghadapi kenyataan suami yang aku cintai sepenuh hati sudah pun melafazkan
kabul untuk mengikat gadis lain menjadi suri dalam hidupnya. Lebih menyakitkan
apabila gadis itu adalah pilihan orang tuanya sendiri. Sedangkan aku? Aku ini
isterinya. Isteri... yang tak pernah diiktiraf.
Munirah meleraikan pelukan.
Jemarinya menyapu air mata yang masih berlinangan di pipiku. “Buat masa ni, kau
duduklah sini dulu. Lagipun aku duduk sorang aje lepas kau pindah dulu. Bilik
kau dulu tu masih tetap akan jadi bilik kau.”
Aku menunduk terharu. Betapa Munirah
tetap sahabat terbaikku dunia akhirat. “Thanks,
Mun. Aku tak tahu macam mana nak balas budi baik kau...” ucapku sebak.
Munirah menggeleng kecil. Ada
senyuman di bibirnya. “Dah, sekarang aku nak kau pergi masuk bilik, rehat.
Tidur cukup-cukup, jangan fikir apa-apa lagi. Okey?”
Aku mengangguk. Munirah kemudiannya
bangun meninggalkanku di situ. Aku menoleh ke arah beg pakaianku yang terletak
di tepi sofa. Fikiranku melayang mengingati Fakhrul. Apa yang sedang dilakukan
sekarang? Risaukah dia dengan kehilanganku? Atau adakah dia sudah tidak peduli
lagi tentang aku?
Aku bangkit mencapai beg lalu masuk
ke bilik yang sudah lama aku tinggalkan. Di atas katil, aku rebahkan badan yang
terasa penat. Penat menangisi apa yang telah terjadi. Tanganku mencapai telefon
bimbit dari dalam beg tangan. Telefon bimbit itu aku hidupkan setelah
berjam-jam membiarkan ia mati. Serentak itu juga bertalu-talu SMS masuk ke
telefon bimbitku. Berpuluh-puluh panggilan tidak dijawab. Semuanya daripada
Fakhrul. Melihat namanya di skrin, air mataku tumpah lagi. Ya Allah... beratnya
dugaan-Mu ini.
-Sayang... kenapa off phone?
Tolonglah jawab call abang, I need you.
-Tolong jangan hukum abang macam
ni. Percayalah, kalau boleh abang tak nak buat semua ni. Abang terpaksa.
Please, Raisha sayang...
-Abang nak jumpa Sha tapi mama tak
bagi abang keluar sampai malam ni. So please, answer my phone call.
-Malam nanti lepas dah settle semua
abang janji akan balik sana. Tunggu abang.
-Sayang... where are you? Kenapa
tak ada kat rumah? Sha pergi mana?
-Raisha... kenapa pergi tinggalkan
abang macam ni? Tolonglah balik, sayang...
Sungguh aku tak sanggup untuk
membaca mesej-mesej yang seterusnya. Lantas laju jemariku memadam semuanya. Aku
tak mahu dengar rayuannya, aku tak mahu ambil tahu lagi tentang dirinya. Semua
itu akan membuatkan aku rasa tambah berdosa.
Teringat
kenangan lalu. Ketika pertama kali aku bertemunya. Kami berkenalan dan bercinta
dan akhirnya dia melamarku untuk menjadi suri hidupnya. Kedua-dua orang tuaku
merestui perkahwinan kami tapi sebaliknya yang berlaku dalam keluarga Fakhrul.
Mamanya menolak diriku mentah-mentah. Aku tak tahu kenapa. Oleh sebab itu, ibu
dan ayahku memutuskan aku tidak boleh mengahwini Fakhrul selagi kami tak
mendapat restu daripada mamanya. Bukan aku tak berusaha untuk melembutkan hati
Puan Rokiah, tapi semuanya tetap gagal.
Lalu
Fakhrul mengusulkan cadangan untuk kami bernikah di luar pengetahuan Puan
Rokiah. Pada waktu itu, aku buta dalam menilai mana yang baik, mana yang buruk.
Walau ibu dan ayahku membantah keras, aku tetap berdegil dengan keputusanku.
Kerana keputusan itulah, aku nekad meninggalkan rumah ibu dan ayahku untuk
mengikut Fakhrul tinggal di Kuala Lumpur. Aku tak endahkan rayuan dan tangisan
ibu dan ayahku. Yang aku tahu, aku ingin hidup bersama Fakhrul, lelaki yang aku
cintai sepenuh hatiku.
Memang
kami bahagia. Fakhrul seorang suami yang sempurna untukku, tapi dia sering
kalah apabila melibatkan mamanya. Pada awalnya aku faham apabila dia selalu
melebihkan mamanya dalam setiap hal kerana aku sedar, mamanya sudah tidak punya
siapa-siapa lagi di dunia ini selain dirinya. Tapi keadaan itu semakin lama
semakin memburuk hingga ada kalanya aku merasakan, diriku ini tak bermakna
apa-apa di mata Fakhrul. Pernah sekali, dia tidak datang menjengukku hampir
sebulan. Alasannya, mamanya tak mengizinkannya keluar rumah dan pulang lewat
malam lagi.
Tak
lama selepas itu, dia datang padaku dengan satu berita yang telah
menghancur-lumatkan sekeping hatiku ini. Puan Rokiah meminta dia menikahi
Yurul, gadis yang sudah mendapat tempat di hati Puan Rokiah sedari dulu lagi.
Bukan permintaan itu yang melukakan aku, sebaliknya persetujuan yang diberikan
Fakhrul telah menoreh luka yang sangat dalam di hatiku. Betapa tegarnya dia
memperlakukan aku begitu. Daripada mengakui bahawa dia sudah punya aku sebagai
isterinya, dia lebih memilih untuk menuruti permintaan mamanya.
Sejak
itu aku mula terfikir hala tuju hubungan yang kami bina ini. Mungkinkah air
mata yang menjadi teman setiaku sehari-hari ini kerana aku sudah menderhaka
kepada ibu dan ayahku? Sejak itu juga, rasa rindu yang selama ini aku tanam
dalam hati kembali membuak-buak. Benar, aku rindu ibu dan ayahku. Tapi aku
belum punya kekuatan untuk berdepan dengan mereka lagi. Jika aku pulang, masih mahukah
mereka memaafkanku dan menerima aku semula?
Puas
aku berfikir, akhirnya ini keputusan yang aku ambil. Aku mahu pulang ke
kampung, kembali meraih kasih ibu dan ayahku. Kalau perlu merayu, aku sanggup
asalkan mereka sudi mengampunkan aku. Biarlah semua tentang Fakhrul aku
noktahkan di sini. Aku nekad, tidak akan pernah kembali lagi padanya. Aku sedar
betapa berdosanya aku kerana melukai suamiku sendiri, tapi aku tak punya
pilihan lain lagi.
RUMAH
kayu setingkat yang sudah agak usang itu aku renung dengan pandangan kabur.
Terasa seolah-olah beban rindu yang aku tanggung selama ini sudah terlerai
sepenuhnya. Pegangan pada beg di tanganku semakin kejap. Aku menunduk, menahan
sebak sekali gus cuba menepis perasaan ragu yang cuba merasuk hati.
Berkali-kali aku beristighfar dan menitipkan doa dalam hati semoga Allah
mempermudah semuanya.
Perlahan aku melangkah mendekati
tangga kayu rumah. Liur kutelan. Dengan lafaz bismillah, aku mengucap salam.
“Assalamualaikum...”
Sunyi. Hanya bunyi deruan angin yang
kedengaran. Aku melilaukan mata ke sekitar kawasan rumah. Kalau bukan kerana
tingkap yang terbuka luas, pasti aku sudah merumuskan orang tuaku tiada di
rumah. Sekali lagi aku melafazkan salam. Terdengar sayup-sayup suara ibuku
menjawab salam itu. Mendengar suaranya itu, sebak datang lagi. Rindunya aku...
Terdengar selak pintu dibuka sebelum
daun pintu ditarik dari dalam. Aku mengangkat muka. Jelas wajah ibuku di
depanku, merenungku dengan satu pandangan yang sukar untuk kutafsirkan. Aku
memijak satu-persatu anak tangga menghampirinya. “Ibu...” Bergetar suaraku menyebut
sebaris nama itu. Tangannya aku capai dan kukucup lembut. Bagaikan putusnya
mutiara dari karangan, deras air mataku mengalir menuruni pipi.
“Ibu... maafkan Sha. Sha mintak
ampun dengan ibu... Maafkan Sha, ibu...” Tenggelam timbul suaraku menahan
tangis. Perlahan aku terasa tubuhku ditarik ke dalam pelukan. Aku menangis
sepuas-puasnya di bahu ibu.
“Sha... anak ibu dah balik. Lama ibu
tunggu Sha balik...” Ibu turut sama teresak-esak.
“Sha mintak maaf, ibu... Sha janji
Sha takkan tinggalkan ibu lagi. Ampunkan Sha, ibu...” Aku merayu tanpa henti.
Kalau perlu aku mencium kakinya, aku sanggup. Namun belum sempat aku
menundukkan badan, terasa dahiku dikucup lembut. Penuh rasa kasih seorang ibu
untukku.
“Ibu tak marah Sha. Ibu dah lama
maafkan Sha. Alhamdulillah... Sha balik jugak akhirnya. Ibu rindukan Sha...”
Ibu merenung lembut ke dalam sepasang anak mataku.
Air mataku tumpah lagi. Terharunya
aku... betapa seorang ibu tak pernah membenci anaknya ini biarpun aku telah
melukakan hatinya. Syukur, ya Allah...
“Sha
pun rindukan ibu...” luahku penuh perasaan.
Ibu tersenyum memandangku. Air mata
di pipiku diseka lembut. Sebentar
kemudian, dia melilaukan mata ke sekitar luar rumah. Aku yang faham dengan
reaksinya mula bersuara, “Fakhrul tak ada, bu. Sha balik sorang.”
Laju jemari ibu mengesat sisa air
mata di pipinya. “Kenapa, Sha? Sha tak ajak dia balik sekali ke?” Ada nada
risau dalam suaranya itu. Mungkinkah dia dapat mengagak apa yang sedang berlaku
antara aku dan Fakhrul?
Aku menundukkan wajah. Melihat aku
begitu, ibu menyentuh pipiku.
“Sha?”
Aku paksa bibir untuk mengukir
senyum. “Ayah mana, ibu?”
Ibu terdiam seketika merenungku.
Mungkin juga dia sedang cuba untuk membaca apa yang tersirat di sebalik
sepasang mataku ini. Ahh ibu... tak pernah gagal dalam membaca hati seorang
anak.
“Ayah tak balik lagi. Nanti petang
sikit baru dia balik. Jom, Sha... kita masuk dalam dulu.” Ibu menarik tanganku
untuk masuk ke rumah. “Sha lapar tak? Ibu baru aje nak masak tadi. Sha nak
makan apa cakap aje, biar ibu masakkan...”
Aku meletakkan beg pakaian di tepi
pintu bilik sebelum mengikut ibu masuk ke dapur. “Sha tak kisah apa-apa pun,
bu. Apa aje ibu masak semua sedap!” ujarku sambil tertawa kecil. Melihat senyuman
di bibir ibu, hatiku kembali berbunga riang. Sesungguhnya, tiada apa yang lebih
menggembirakan aku selain melihat ibu yang aku sayangi separuh mati itu dapat
tersenyum semula.
“KENAPA
dia balik?”
Sebaris soalan yang singgah di
telinga itu benar-benar menyentap jantungku. Terhenti langkahku di muka pintu
dapur.
“Kenapa abang cakap macam tu? Dia
kan anak kita...”
“Anak? Awak tak ingat ke apa yang
dia dah buat pada kita dulu? Dia lari ikut lelaki tu, langsung tak nak dengar
nasihat kita ni, orang tua dia. Itu yang awak panggil anak?”
Hampir menitis air mataku mendengar
kata-kata ayah. Walaupun kata-kata itu amat menggores hatiku, tapi aku tak
mampu menafikan kebenarannya. Memang aku ini anak... anak derhaka.
“Dia dah mintak maaf dengan kita.
Dia pun dah sedar silap dia sebelum ni, bang. Tak boleh abang maafkan dia?”
Esakan kecil ibu mula kedengaran.
Ayah merengus. “Habis suami dia tu
mana? Dah tak reti nak bertanggungjawab? Dulu masa nak bukan main lagi sampai
sanggup larikan anak orang. Tapi sekarang? Mana dia? Tinggalkan isteri kat sini
macam orang tak ada harga!”
Tiada balasan daripada ibu. Aku
mengesat birai mata yang basah. Perlahan langkah kubawa mendekati ayah dan ibu
di ruang tamu.
“Ayah...”
Tidak sedikit pun ayah berpaling
memandangku. Aku duduk berlutut di depannya. “Sha mintak maaf dengan ayah. Sha
tahu Sha dah berdosa dengan ayah dan ibu. Sha tahu Sha ni anak derhaka. Ayah
maafkanlah, Sha... Sha merayu...” Tangannya aku capai dan kukucup dengan penuh
rasa hina. Tangisanku pecah lagi tanpa dapat ditahan lagi.
Ibu mengusap lembut bahuku. Sudah
pasti dia juga dapat merasai perasaanku kala ini.
“Pergi telefon laki kau tu sekarang,
suruh dia ambik kau balik!” Dingin sekali suara ayah membalas.
Aku menggeleng laju. “Sha tak nak
balik dengan dia. Sha nak duduk sini dengan ayah dan ibu. Sha janji Sha takkan
pergi lagi. Ayah maafkanlah Sha...” Terhenggut-henggut bahuku melawan tangis.
Dalam hati aku menitipkan doa agar Allah melembutkan hati ayah untuk
mengampunkanku dan menerimaku semula.
Diam. Aku mengangkat muka merenung
wajahnya. Dapat kulihat air jernih bertakung dalam sepasang matanya itu.
“Ayah... Sha mintak ampun. Ampunkan Sha, ayah...” rayuku terus tanpa henti,
tanpa jemu.
“Abang... sudahlah tu, kita
lupakanlah kisah lama tu ya,” kata ibu. Aku tahu dia sentiasa di belakangku
walau apa pun yang berlaku.
Lambat-lambat ayah meleraikan
pegangan di tangannya. Bahuku diusap-usap lembut sebelum bangun meninggalkan
aku dan ibu di situ. Tak perlu kata-kata kemaafan dari mulutnya, aku tahu masih
ada tempat buatku dalam hatinya.
SEMINGGU
aku di kampung, aku dapat rasai ketenangan yang selama ini aku cari. Bersama
ayah dan ibu, aku merasakan hidupku sudah kembali lengkap. Memang hubunganku
dengan ayah masih belum pulih sepenuhnya, tapi dia tidak lagi mengasingkan aku
dari hidupnya.
Biarpun
suami tiada di sisi, aku tetap mampu tersenyum riang. Pun begitu, tak pernah
setiap saat pun berlalu tanpa ada rasa rindu buat dia. Aku terlalu merindui
dia... tapi aku sedar di mana tempat buatku.
Setelah seminggu di sini, baru aku
terfikir untuk menghidupkan talian telefon bimbitku. Belum sempat aku menekan
punat untuk mengaktifkan telefon bimbitku itu, pintu bilikku ditolak dari luar.
Muncul ibu di situ.
“Ibu...” Aku mengukir senyum
buatnya.
Ibu duduk di sebelahku. “Sha... ibu
tanya sikit boleh?”
“Boleh, apa dia bu?” Aku menanti dia
membuka mulut dengan debar di dada. Aku tahu, lambat-laun ibu tetap akan
bertanyakan soal Fakhrul. Bukan tidak pernah dia bertanya soal itu tapi aku
yang sering mengelak. Dan hari ini, aku takkan mampu untuk mengelak lagi.
“Kenapa Sha balik sini tanpa
Fakhrul? Apa yang dah jadi sebenarnya?” Lembut sekali suara ibu bertanyakan
soalan-soalan itu.
Aku terdiam beberapa saat mencari
kekuatan. “Dia... dia dah tak perlukan Sha lagi, bu...”
Ibu menggenggam erat tanganku.
“Cerita dengan ibu,” pintanya.
Lalu, aku mula membuka satu-persatu
kisah yang telah tertulis dalam hubungan aku dan Fakhrul. Semuanya aku luahkan
tanpa satu pun tertinggal. Usai bercerita, air mataku turun lebat membasahi
pipi. Aku gagal mengawal emosiku sekali lagi.
Ibu menarikku ke dalam pelukannya.
“Sabar, Sha... Mungkin ni dugaan Allah untuk Sha. Sha kena banyak berdoa,
mintak petunjuk dari Allah jalan mana yang harus Sha pilih. Lari dari masalah,
bukan caranya. Sha kena hadapi semua ni dengan kuat.”
Kata-kata semangat itu meresap masuk
ke hatiku. Benar sekali, aku tak boleh terus begini, melarikan diri daripada
berdepan dengan realiti sebenar. Walau apa pun, dia tetap suamiku. Selagi talak
belum terlafaz dari mulutnya, selagi itulah aku terikat dengan dirinya. Dosa
menderhaka kepada suami tetap akan kupikul sampai mati.
Dalam setiap sujudku, aku berdoa
agar Allah memberikan aku hidayah, petunjuk untuk aku meneruskan hidup ini. Aku
tidak mahu tersesat buat kali kedua. Biarlah kali ini setiap apa yang aku
lakukan mendapat keredaan daripada kedua-dua orang tuaku, dan yang paling
penting keredaan Allah SWT.
Isthikarah... itu yang terbaik
untukku. Memohon supaya Allah memimpinku di lorong yang betul, memberikanku petunjuk
jalan mana yang harus aku ikut, dan sentiasa menenangkan hatiku dalam setiap
apa yang aku lakukan.
“Ya
Allah... Aku mohon pemilihan-Mu menerusi pengetahuan-Mu dan aku mohon
kekuatan-Mu menerusi kudrat-Mu serta aku minta pada-Mu sebahagian dari limpah
kurnia-Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku
tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan
sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau
mengetahui bahawa kembali kepada dia adalah baik bagiku dalam urusan agamaku
juga dalam urusan penghidupanku serta natijah pada urusanku, kini dan akan
datang, maka tetapkanlah ia bagiku dan permudahkanlah ia untukku, serta
berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa meninggalkan dia
membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan
penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia
dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian
jadikanlah daku meredainya...”
Aku akui, semakin dekat aku
dengan-Nya, hidupku menjadi lebih tenang. Kini setelah dua minggu lebih di
sini, hatiku kembali tergerak untuk menghidupkan semula talian telefon
bimbitku. Sebaik saja telefon itu aktif, bertalu-talu SMS masuk. Sampai
berates-ratus panggilan tidak dijawab. Aku beristighfar panjang. Belum sempat
aku memeriksa satu-persatu, satu panggilan tiba-tiba masuk. Nama Munirah muncul
di skrin. Laju aku menjawab panggilannya itu.
“Sha! Ya Allah... Alhamdulillah!
Akhirnya kau jawab jugak call aku!
Mana kau hilang ha? Kau tahu tak aku kat sini macam orang gila cari kau? Tahu
tak?!”
Perit telingaku mendengar suara kuat
Munirah itu. “Mun... kau tahu kan aku balik kampung? Aku nak tenangkan fikiran
aku kat sini...”
“Ya tu aku tahu. Tapi kenapa kau
senyap terus aje? Tak boleh ke kau on
phone kau tu then contact aku?
Susah sangat ke?” Munirah membebel-bebel lagi. Aku mula menghidu sesuatu yang
tak sedap.
“Kenapa, Mun? Apa yang dah jadi?”
Munirah menghembus nafas panjang.
“Fakhrul...”
“Fakhrul? Kenapa dengan Fakhrul?”
Aku sudah tak sedap hati. Ada sesuatu yang telah berlaku pada diakah?
“Dia accident dua minggu lepas!”
Kenyataan yang aku dengar itu
benar-benar meruntuhkan seluruh semangatku. Setitis air mataku gugur. Terlalu terkejut
hingga aku tak dapat bersuara walau sepatah pun.
“Puas aku cuba contact kau tapi tak dapat-dapat. Dahlah rumah kat kampung kau tu
tak pakai telefon. Nombor telefon jiran kau pun aku tak tahu. Orang lain
kali...”
“Mun!” Aku memanggil namanya sekali
gus menghentikan bebelannya. Sempat lagi dia membebel pada saat aku sedang
dilanda kerisauan begini. “Fakhrul macam mana sekarang?”
Munirah mengeluh. “Alhamdulillah dia
dah makin okey. Tapi masa mula-mula kena tu teruk jugak. Kaki dia hampir
patah.”
Aku menekup mulut. Mengucap panjang
aku jadinya mendengar berita itu.
“Dia masih kat hospital tapi dah
makin okey sekarang. Cuma tulah... tak boleh nak jalan lagi. Kau baliklah
wei... kesian aku tengok laki kau tu macam orang mati bini!”
Aku terdiam lama. Salah akukah semua
itu terjadi?
“Sha? Kau dengar tak ni?”
“Yurul?” Pedih hatiku kala menyebut
nama itu.
Munirah mengeluh lagi. “Kalau kau
nak tahu cerita sebenar, kau balik sini. Biar Fakhrul sendiri yang ceritakan
semuanya.”
Hanya itu yang dikatakan Munirah
sebelum talian dimatikan. Aku ingin sekali menghubungi Fakhrul tapi aku tak
tahu bagaimana caranya. Marahkah dia? Sudah bencikah dia padaku?
“Kenapa, Sha?”
Aku menoleh mendengar pertanyaan
itu. “Ayah...”
Melihat aku menitiskan air mata,
ayah duduk di sebelahku. “Kenapa? Siapa yang telefon tadi?”
“Kawan Sha, Munirah...”
“Apa dia cakap?”
“Fakhrul... Fakhrul kemalangan dua
minggu lepas.”
“Astaghfirullah...” Ayah mengusap
dada. Sudah pastilah dia juga terkejut, sama seperti keadaanku tadi.
“Sha nak balik sana?”
“Sha tak tahu...”
“Baliklah, Sha... Tempat seorang
isteri tu di sisi suami.”
Aku mengangkat muka mendengar
kata-kata ayah. Sebak menguasai diriku.
“Ibu pun rasa macam tu. Sha kena
balik sana, jumpa dia. Kalau Sha nak ayah dan ibu temankan, ayah dan ibu boleh
temankan.” Ibu tiba-tiba menyampuk.
Aku tertunduk sayu. ‘Ya Allah ya Tuhan kami, kurniakan kami
rahmat dari sisi-Mu, dan berilah petunjuk kepada kami dalam urusan kami dengan
segala petunjuk, mudahkanlah urusan kami, ya Allah, permudahkanlah jangan
disulitkan kerana Engkaulah yang maha memudahkan, segala yang susah adalah
mudah bagi-Mu, ya Allah, sempurnakanlah dengan segala kebaikan, dengan
rahmat-Mu, ya Allah wahai yang paling mengasihani daripada segala yang
mengasihani...’
PADA
awalnya ibu dan ayah mahu mengikut aku ke hospital tapi bagiku, biarlah aku
seorang yang pergi buat masa ini. Nanti selepas segala urusan selesai, barulah
aku akan membawa kedua-dua orang tuaku bertemu Puan Rokiah. Pelawaan Munirah
yang ingin menemani ke hospital aku terima.
Sampai saja di hospital, aku
mengikut Munirah menghala ke arah wad kelas pertama yang menempatkan suamiku.
Debaran di dada usah dicerita. Takut dengan penerimaan Fakhrul, takut lagi
dengan penolakan Puan Rokiah.
Mungkin Tuhan mahu aku berdepan
dengan Puan Rokiah dan menyelesaikan masalah antara kami terlebih dahulu,
kerana itulah dia menemukan aku dengan wanita itu di depan pintu wad. Tajam
renungannya memanah wajahku.
“Kau buat apa kat sini?” Walaupun
nadanya perlahan, suara itu tetap kedengaran kasar di telingaku. Tahulah aku
bahawa Puan Rokiah sudah tahu tentang kenyataan sebenar antara aku dan Fakhrul.
“Mama...”
“Jangan panggil aku mama! Kau bukan
menantu aku!” Puan Rokiah menekan suaranya.
Aku menunduk. “Mama... Sha datang
dengan cara baik. Sha nak jumpa Abang Fakhrul... izinkan Sha jumpa dia, ma...”
“Kau ni memang tak sedar diri, kan?
Kau dah pergi tinggalkan dia macam orang bodoh, lepas tu kau datang sini merayu
dengan aku kononnya kaulah isteri mithali. Eh, perempuan jenis apa kau ni
hah?!”
Esakanku pecah juga akhirnya.
Munirah di sisi memegang erat tanganku. Aku tahu dia cuba menyalurkan semangat
dalam diriku.
“Mama... Sha merayu dengan mama,
bagi Sha peluang jumpa Abang Fakhrul...”
“Sini kau!” Puan Rokiah menarik
kasar tanganku. Aku yang tak sempat berbuat apa-apa termasuk mengikut saja
langkah kakinya. Munirah pula mengikut aku di belakang. Sampai di luar kawasan
hospital, barulah tanganku dilepaskan.
“Masa anak aku tu bertarung dengan
nyawa dia antara hidup dan mati, mana kau pergi? Mana kau masa tu? Kau tak ada
dengan dia. Kau tinggalkan dia, kau tak peduli langsung pasal dia. Tapi
sekarang bila dia dah makin sembuh, baru kau datang nak cari dia balik. Eh
isteri jenis apa kau ni hah?!” Melengking tinggi suara Puan Rokiah. Renungannya
tajam sekali.
Aku menggeleng-geleng, cuba
menafikan tuduhannya itu. Aku pergi bukan bermaksud aku tidak peduli lagi
tentang suamiku. Jauh di sudut hati, dia tetap aku sayang, dia tetap aku cinta.
Tidakkah Puan Rokiah sedar, pemergianku adalah kerana dirinya sendiri? Aku
mengalah demi kasih seorang anak buat ibunya. Tapi...
“Aku tak nak tengok muka kau lagi
lepas ni. Kau tak ada kena-mengena lagi dengan Fakhrul! Kalau kau berani
datang, kau tahulah apa aku akan buat nanti!” Puan Rokiah mencerlung ke arahku
sebelum berlalu pergi meninggalkan aku dan Munirah di situ.
“Sha...” Munirah memeluk bahuku.
“Kau okey?”
“Aku nak jumpa suami aku, Mun... Aku
nak jumpa dia...” rintihku perlahan. Kalau sebelum ini aku nekad untuk tidak
menemuinya lagi, kini aku sedar aku tidak mampu hidup tanpa dia di sisi.
“Sabar, Sha... Jangan menangis macam
ni. Aku yakin mesti ada jalan lain. Kau jangan risau, aku janji aku akan tolong
kau,” janji Munirah, sekali gus memujuk hatiku, memberi sinar harapan kepadaku
bahawa masih ada peluang untuk aku dan Fakhrul.
AKU
mengintai dari dalam kereta. Jelas kelibat Puan Rokiah baru saja melangkah
keluar dari kawasan hospital. Tidak bertangguh, bergegas aku keluar dari kereta
dan mula mengatur langkah masuk ke hospital terus menuju ke arah wad yang
menempatkan suamiku. Perlahan daun pintu wad itu kutolak dari luar. Memandang
wajah Fakhrul yang sedang lena di atas katil, hatiku diruntun sayu. Betapa di
saat dia memerlukan aku di sisinya, aku tiada untuknya.
Aku mendekati Fakhrul. Tangannya aku
capai dan kukucup lembut. Dingin terasa tangan itu ketika aku meletakkannya di
pipiku. “Abang... Sha mintak ampun dengan abang. Maafkan Sha sebab tinggalkan
abang... Maafkan Sha...”
“Sha...”
Suara yang menyeru namaku itu
memanggil aku untuk mendongakkan kepala. Fakhrul sedang merenungku lembut.
Melihat dia terkial-kial bangkit, aku membantunya untuk duduk menyandar di
kepala katil beralaskan sebiji bantal.
“Sha...” Tanganku digenggamnya erat.
“Abang... Sha mintak maaf. Sha...”
“Syhh...” Fakhrul menarik aku rapat
padanya. “Abang yang patutnya mintak maaf dengan Sha. Abang dah sedar silap
abang selama ni abaikan Sha... sampaikan Sha sendiri lari tinggalkan abang.
Semua tu salah abang. Sha tak salah, sayang...” Lembut jemarinya mengesat air
mata di pipiku.
“Tapi Sha tak patut buat abang macam
ni. Tentu abang perlukan Sha sangat lepas kemalangan tu, kan? Sha rasa berdosa
sangat...” Aku masih tak boleh berhenti menyalahkan diri sendiri atas apa yang
telah terjadi.
Fakhrul menggeleng kecil. Tubuhku
dibawa ke dalam pelukannya. Di bahunya, aku menangis lagi. Sungguh-sungguh aku
menangis, melepaskan segala perasaan yang terbuku di hati.
Tiba-tiba pintu wad ditolak dari
luar. Aku yang terkejut segera meleraikan pelukan sebelum bangkit berdiri.
Tambah terkejut setelah melihat gerangan yang datang. Yurul? Walaupun aku belum
pernah bertemu empat mata dengannya, tapi aku yakin gadis itu memang dia.
“Hai!” Yurul menyapa ceria. Setelah
menutup pintu, dia berjalan mendapatkanku sambil menghulurkan tangan. “Raisha,
kan?”
Aku teragak-agak mengangguk. Kenapa
dia nampak ceria dan gembira? Tak terusik langsungkah melihat aku dan Fakhrul
bersama?
“I Yurul.” Yurul memperkenalkan
dirinya. Melihat dia masih menghulur tangannya kepadaku, aku pantas
menyambutnya.
“Raisha.”
“Hmm... jadi youlah wanita yang
paling Fakhrul sayang. Kan?” Yurul mengerling ke arah Fakhrul. Fakhrul pula
menyambutnya dengan tawa kecil.
Aku mengerutkan dahi. Sebenarnya,
aku sudah hampir terlupa tentang kewujudan Yurul antara kami. Kalau dia tidak
datang hari ini, pasti aku sudah melupakannya 100%.
“Sorry...
tadi I terdengar perbualan you all... and
you know what, I think you all patut teruskan hubungan ni. You love each other, jadi kenapa nak
hancurkan perkahwinan ni macam tu aje?” Yurul memandangku penuh tanda tanya.
Aku makin hairan jadinya. Apa maksud
dia? Kenapa dia...? Ah! Aku benar-benar bingung dengan situasi yang sedang
berlaku.
“Sayang...” Fakhrul menghulurkan
tangan ke arahku, isyarat supaya aku datang dekat padanya. Perlahan-lahan aku
akur.
“Apa yang dah jadi sebenarnya ni,
abang? Bukan ke abang...”
“Kami tak jadi kahwin hari tu.”
Yurul menjawab soalan yang belum lagi terluah dari mulutku. Aku merenungnya
dengan riak keliru.
“Sejam sebelum majlis tu, Fakhrul
datang jumpa I senyap-senyap. Dia cakap yang dia tak boleh teruskan perkahwinan
kita orang berdua. Dan kalau you nak tahu, I pun sebenarnya terpaksa setuju
untuk kahwin dengan Fakhrul. I setuju kahwin dengan dia sebab parents I. Tapi bila dia bagitahu I yang
dia dah you as his wife, I dah dapat
satu alasan kukuh kenapa I patut hentikan perkahwinan tu. Perkahwinan tu memang
tak sepatutnya berlaku, Raisha,” jelas Yurul satu-persatu.
Barulah aku faham apa yang telah
berlaku. Jadi itu bermakna, pada malam itu Fakhrul dan Yurul tak jadi menikah?
Dan aku pula nekad keluar rumah kerana menyangkakan diriku sudah tidak
dipedulikan lagi. Ya Allah...
Fakhrul menggenggam erat tanganku.
“Abang nak Sha tahu, abang cuma ada Sha dalam hati abang. Tak ada orang lain,”
bisiknya perlahan. Tanganku dibawa ke bibirnya.
“Tapi mama? Mama takkan mungkin
terima Sha. Dia benci Sha...” luahku bimbang.
Fakhrul menggeleng. “Tak... mama tak
benci Sha. Dia tak pernah benci Sha...”
“Tapi...”
“Pasal tu, Sha jangan risau. Abang
janji abang akan cakap dengan mama pasal hal kita. Abang janji abang takkan
ulang lagi kesilapan abang yang dulu tu. Okey, sayang?”
Janji yang dilafazkan itu meyakinkan
aku masih ada sinar kebahagiaan buat kami berdua.
“Abang nak jumpa ibu dengan ayah?”
tanyaku.
“Ibu dengan ayah datang sekali ke?”
Dia bertanya dengan riak terkejut.
Aku mengangguk. “Ada kat rumah Mun.
Nanti Sha bawak ibu dengan ayah datang sini...”
“Semua yang jadi ada hikmah, kan?
Kalau Sha tak tinggalkan abang malam tu, Sha takkan dapat baik semula dengan
ibu dan ayah...” ujar Fakhrul, penuh maksud mendalam.
Aku tersenyum dalam sebak. Lupa
kehadiran Yurul di sini. Yang aku tahu, aku mahu ada di sisi suamiku ini untuk
selama-lamanya walau apa pun yang berlaku selepas ini.
AKU
datang lagi ke hospital bersama ibu dan ayah. Ketika aku sampai, Puan Rokiah
ada di situ menemani Fakhrul. Jelingannya menyambutku. Melihat reaksinya itu,
aku yakin Fakhrul sudah menceritakan semuanya kepadanya.
“Mama...” Aku menghulurkan tangan
untuk bersalam. Dia menyambutnya tapi belum sempat tangannya kucium, dia sudah
kembali menarik tangannya. Aku memujuk hati untuk tidak cepat rasa tersentuh.
Ibu juga menghulurkan tangan kepada
Puan Rokiah. Sama seperti aku, dia cuma bersalam dengan ibu dengan riak antara
hendak dan tidak.
“Ibu, ayah...” Fakhrul yang duduk di
atas katil menghulur tangan untuk bersalam dengan kedua-dua orang tuaku.
Syukur, kedua-dua orang tuaku menyambutnya dengan baik. Aku lega kerana ayah
sudah dapat menerima Fakhrul dengan hati yang terbuka.
“Puan... kami datang ni dengan cara
baik. Kami tahu anak kami dah buat salah dengan puan jadi kami sebagai orang
tua, minta maaf dengan puan atas apa yang dia dah buat. Kami harap, kita boleh
jadi satu keluarga yang aman lepas ni.” Tenang ayah menyusun kata.
Tiada balasan daripada Puan Rokiah.
Dia diam berpeluk tubuh sambil merenung ke luar tingkap.
“Sebenarnya, apa yang dah jadi bukan
salah Sha sorang. Rul pun salah, ma... Rul yang salah sebab sanggup belakangkan
mama. Tapi percayalah, Rul ikhlas sayangkan Sha. Rul cuma nak dia jadi isteri
Rul sampai bila-bila...”
Aku mengesat birai mataku. Tersentuh
hatiku dengan luahan hati Fakhrul itu.
Puan Rokiah masih tetap diam. Aku
tidak tahu dan aku tidak dapat membaca apa yang ada di fikirannya ketika ini.
“Rul dah buat keputusan. Sha akan
tinggal dengan kita lepas ni, ma.”
Dua baris ayat itu berjaya memanggil
Puan Rokiah untuk berpaling memandang kami silih berganti. “Apa Rul cakap?”
Sebagaimana dia, aku sendiri
terkejut dengan apa yang diberitahu Fakhrul tadi.
“Raisha isteri Rul, ma. Rul nak dia
sentiasa ada dengan Rul!”
“No!
Mama tak setuju! Rul anak mama, jadi Rul kena ikut cakap mama. Lagipun Rul
masih lagi tak sihat, biar mama yang jaga Rul. Rul tak perlukan perempuan ni!”
bantah Puan Rokiah.
“Ma... sebab Rul tak sihatlah Rul
nak Sha tinggal dengan kita. Tempat seorang isteri di sisi suami. Atau mama nak
Rul tinggal dengan Sha kat kondo tu?” Tiada cara lain, Fakhrul terpaksa
mengugut mamanya. Aku menggenggam tangannya erat-erat, berdebar menanti jawapan
Puan Rokiah.
Puan Rokiah merengus. Mungkin dia
sedar, tiada cara lain lagi untuk membantah kemahuan Fakhrul. Daripada melihat
anaknya sendiri keluar dari rumah, dia terpaksa menerima aku untuk tinggal di
rumahnya.
“MAK
TEMAH... biar Sha yang basuh pinggan-pinggan tu semua. Mak Temah pergilah
rehat, mesti Mak Temah penat, kan?” Aku menegur Mak Temah yang sedang berdiri
di tepi singki.
“Tak apa ke, Sha? Tak menyusahkan
ke?” tanya Mak Temah ragu-ragu.
Aku menggeleng. “Tak adalah. Biar
Sha yang basuh semua ni,” ujarku yakin.
“Okeylah kalau macam tu. Mak Temah
masuk bilik dulu ya? Kalau ada apa-apa, panggil aje,” balas orang tuaku sebelum
menghilang di sebalik pintu biliknya yang terletak bersebelahan dapur.
Aku memulas kepala paip pada singki
itu dan mula mencuci pinggan-pinggan yang ada di dalamnya. Entah di mana
silapnya, sikuku tiba-tiba terlanggar pinggan-pinggan yang sudah tersusun
cantik di tepi singki. Berdenting bunyinya apa pinggan-pinggan itu mencecah
lantai. Pecah berderai. Aku menekup mulut, antara terkejut dan takut.
“Bunyi apa tu?”
Mama tiba-tiba menyergah. Aku
memusingkan tubuh ke belakang. “Err... ma, Sha...”
“Ya Allah, ya Tuhanku! Pinggan aku!”
Mama terjerit melihat situasi ketika itu. Dia menghampiriku dengan renungan tajam.
“Kau ni... kalau sehari tak merosakkan harta benda aku tak boleh ke? Kau ingat
pinggan-pinggan ni semua aku beli dengan air liur? Hah?!”
Aku menunduk menahan sebak. Memang
salah. Ya, aku akui memang salahku. “Sha mintak maaf, ma... Sha tak sengaja. Sha...”
“Kalau tak kerana Fakhrul, dah lama
aku halau kau keluar dari rumah ni kau tahu tak?!”
Aku terdiam mendengar baris ayatnya
itu. Kerdilnya rasa diri ini...
“Mak Temah! Mak Temah!”
Terkocoh-kocoh Mak Temah muncul di
dapur. “Ada apa, puan?”
“Macam mana Mak Temah buat kerja?
Saya bayar gaji Mak Temah untuk kerja kat sini, bukan bagi kerja Mak Temah kat
perempuan ni!!” Mama menengking kuat.
“Mak Temah mintak maaf, puan...”
Berkali-kali Mak Temah memohon maaf.
“Kau keluar sekarang!” Mama menoleh
ke arahku pula.
Sungguh aku tak mampu lagi
berhadapan dengannya ketika itu. Lalu langkah kubawa perlahan keluar dari dapur
menuju ke tingkat atas.
Mujurlah Fakhrul sedang tidur ketika
itu. Sudah pastilah dinding batu rumah ini menghalang suara kuat mama tadi
daripada sampai ke telinganya. Aku mengesat air mata di pipi. Fakhrul yang
sedang berbaring di katil dengan kakinya yang masih berbalut kuhampiri. Aku
melabuhkan duduk di sebelahnya. Ketika itulah, pesanan ibu dan ayah sebelum
pulang ke kampung tempoh hari kembali terlayar di ruang fikiranku.
“Sha ingat pesanan ibu dan ayah...
walau apa pun yang jadi, Sha jangan cepat mengalah. Anggap ni semua dugaan
Allah untuk Sha. Yang penting, Sha jangan pernah berhenti berdoa moga Allah
lembutkan hati mak mertua Sha tu, dan bukakan hati dia untuk terima Sha sebagai
menantu. Kuat ya, sayang?”
Aku mengangguk tanpa sedar. Ya,
walau apa pun yang jadi, aku takkan mengalah. Aku yang memulakan semua ini jadi
biar aku juga yang berjuang hingga ke akhirnya.
DALAM
sujud Tahajudku, aku memohon kepada Allah, merayu kepada-Nya agar dia terus
memberikan aku kekuatan untuk mengharungi dugaan yang Dia berikan kepadaku ini.
Aku mohon supaya Dia terus melorongkan aku di jalan yang benar, memberikan aku
petunjuk-Nya agar aku tidak tersilap langkah untuk kali kedua.
Tangisanku sampai juga ke telinga
Fakhrul. Bersusah-payah dia turun dari katil menggunakan tongkat dan aku tak
sedar bila masa dia sudah pun duduk di sisiku. Selesai doa, aku menoleh ke
arahnya.
“Kenapa tak kejutkan abang? Boleh
kita solat sama-sama,” soalnya lembut.
Aku memaksa bibir untuk tersenyum.
“Abang kan tak sihat lagi. Sha tak nak susahkan abang...” jawabku. Kepalaku
tundukkan semula. Sebak datang lagi. Entah kenapa malam ini aku terasa ingin
menangis sepuas-puasnya. Seolah-olah air mata yang aku tumpahkan sebelum ini
masih belum cukup untuk menghapus semua dosa yang telah aku lakukan.
Fakhrul menarikku perlahan ke dalam
pelukannya. Aku menangis semahu-mahuku di bahunya. Tiada suara dari bibirnya,
hanya tangannya mengusap lembut kepalaku. Aku tahu dia sudi mendengar semua
luahanku kala ini.
“Sha rasa tak kuat lagi nak hadapi
semua ni...”
“Kenapa?”
“Mama bencikan Sha... sampai
bila-bila pun dia akan tetap benci Sha...” rintihku pilu.
“Jangan cakap macam tu. Kan abang
dah cakap, mama tak pernah benci Sha...”
Aku menggeleng-geleng. “Kalau mama
tak benci Sha, kenapa dia layan Sha macam ni? Kenapa semua yang Sha buat, semua
mama tak suka? Kenapa mama tak pernah anggap Sha ni menantu dia?”
“Dengar cakap abang, sayang...”
Pelukannya semakin erat. “Mama tak benci Sha. Abang yakin tu. Sha kena
banyakkan bersabar. Insya-Allah, Allah dengar doa Sha. Abang janji abang akan
selalu ada kat sini bila Sha perlukan abang...”
Sungguh aku terharu dengan
kata-katanya itu. Ya Allah, aku tahu Engkau mendengar setiap rayuanku, setiap
rintihanku...
SEHARI
dua ini, mama sudah jarang bercakap denganku. Memanglah sebelum ini juga kami
jarang bercakap, tapi situasinya tidak seperti sekarang. Kalau dulu mama selalu
marah-marah, mama tak pernah suka apa yang aku lakukan, semua yang aku buat
pasti ada yang salah di matanya, tapi sejak hari aku dimarahi kerana memecahkan
pinggan-pinggannya itu, dia tidak lagi segarang itu denganku.
Aku tak tahu kenapa mama berubah
dengan mendadak. Adakah dia sudah mula menerimaku sebagai menantunya? Adakah
sudah terbuka hatinya untuk menerimaku sebagai anaknya?
Persoalan-persoalan itulah yang
sering menghantui benakku. Apabila aku luahkan kepada Fakhrul, dia dengan
senyuman menjawab, “Kan abang dah cakap, mama tak benci Sha. Cuma dia perlukan
masa untuk terima Sha sebagai menantu dia. Manalah tahu... dia dah mula sayang
Sha macam anak dia sendiri, kan?”
Logik ke? Entah. Aku sendiri buntu
memikirkannya. Hinggalah pada suatu pagi, mama mengajakku untuk keluar
menemaninya pergi membeli-belah. Aku yang terkejut, hilang suara untuk sesaat
dua.
“Sha, dengar tak apa mama cakap
tadi?” Mama bertanya lagi.
Sha? Mama? Aku bagaikan tidak
percaya mendengarnya.
“Sha?”
“Err... dengar, ma. Hmm... bila mama
nak pergi?”
“Sekaranglah. Sha pergilah siap
dulu, mama tunggu kat depan,” kata mama kemudian beredar meninggalkanku di
dapur.
Aku terpaku lagi. Ya Allah, kalau
benar ini jawapan-Mu untuk setiap doaku, Alhamdulillah... Syukur, ya Allah!
SUNGGUH
aku tak menyangka sampai begitu sekali perubahan mama. Dia melayanku dengan
begitu mesra, seolah-olah tak pernah ada sengketa antara kami sebelum. Dan aku
tersangat-sangat bersyukur untuk itu.
“Cantik tak baju ni?” Mama
menunjukkan sepasang baju kurung putih kepadaku.
“Cantik! Cantik sangat...” Teruja
aku memandang baju itu. Tetapi sebaik saja melihat harganya, terus kupadamkan
niat untuk membeli baju itu.
“Kalau Sha suka, ambiklah. Mama
belanja.”
Membulat mataku merenung mama. “Mama
belanja?”
Mama mengangguk.
“Betul ke, ma?”
“Betullah, apa yang tak betulnya?
Ambik ya, biar mama yang bayar.” Mama tersenyum manis.
Terdiam terus aku jadinya. Sungguh
aku hilang kata-kata dengan layanan mama.
“Eh, Rokiah...”
Aku menoleh ketika terdengar satu
suara menegur mama.
“Eh, Masitah! Awak buat apa kat
sini? Sorang aje ke?” Ramah mama membalas sapaan itu.
“Haah, jalan sorang-sorang aje. Awak
pulak dengan siapa?” tanya wanita yang bernama Masitah itu.
“Ni ha... dengan menantu saya,
kenalkan, Raisha.”
Aku tersentak mendengar namaku
disebut. Melihat isyarat mata mama, segera aku tunduk menghulur tangan untuk
bersalam.
“Dah ada menantu rupanya ya... Buat
majlis tak ajak,” kata Puan Masitah sambil menjeling. Namun aku tahu dia cuma
sekadar bergurau.
“Alah... majlis kecil-kecil aje. Kalau
senang, hujung minggu ni datanglah rumah. Saya buat majlis kesyukuran sikit.”
Majlis kesyukuran? Kenapa aku tak
pernah tahu soal itu? Bila mama merancang?
“Insya-Allah, nanti saya datang
ya...” balas Puan Masitah senang hati.
Banyak persoalan yang bermain di
mindaku. Terutamanya, bagaimana mama boleh berubah dengan mendadak. Namun
begitu, aku tetap bersyukur dengan perubahan mama. Sekurang-kurangnya aku tahu,
mama tidak lagi membenciku. Atau seperti kata Fakhrul, mama tidak pernah
membenciku.
MAJLIS
kesyukuran yang diadakan pada malam hari minggu itu berjalan dengan lancar.
Ayah dan ibu juga datang dari kampung untuk menyempurnakan majlis itu.
Rupa-rupanya mama mengadakan majlis itu istimewa untuk aku dan Fakhrul, untuk
menyatakan rasa syukur kepada Allah kerana telah melengkapkan keluarga kami dan
memberikan kebahagiaan yang selama ini kami harap-harapkan.
“Sayang, mama panggil.”
Aku menoleh ke belakang memandang
Fakhrul. “Apa dia?”
“Mama panggil,” ulangnya sambil
tersenyum.
“Kenapa?”
Fakhrul mengangkat bahu. “Pergilah,
mama ada dalam bilik,” ujarnya.
“Okey,” balasku dan kemudian terus
berlalu menuju ke arah bilik mama. “Mama...” Pintu bilik mama kutolak perlahan.
“Sha... mari sini,” gamit mama. Aku
mendekatinya yang sedang duduk di birai katil.
“Nah... ni untuk Sha.” Mama
menghulurkan sebentuk cincin berlian kepadaku. Aku mengerutkan dahi, tak faham.
“Cincin ni... mama dah berniat nak
bagi pada menantu mama. Sha kan menantu mama jadi... cincin ni milik Sha.”
Tanganku diangkatnya dan perlahan-lahan dia menyarungkan cincin itu pada
jariku. Cantik terletak.
“Tapi, ma... cincin ni mesti mahal,
kan? Sha...” Tak sempat aku bersuara lanjut, mama sudah memotong bicaraku.
“Mama tahu Sha yang terbaik untuk
Fakhrul...”
Aku terdiam.
“Mama tahu sebelum ni mama tak
pernah anggap Sha macam menantu mama. Malah mama tak terima Sha sejak kali
pertama Fakhrul bawak Sha jumpa mama. Sha nak tahu kenapa?” Mama merenung
lembut ke wajahku.
Aku mengangguk. Memang sudah lama
aku menginginkan jawapan untuk persoalan itu.
Mama menarik nafas sebelum mula
bercerita. “Mungkin sebelum ni Fakhrul tak pernah cerita pada Sha tentang kisah
lama dia...”
“Maksud mama?” Aku memintas laju.
“Sebelum Fakhrul kenal Sha, dia
pernah bercinta. Cinta sangat-sangat... sampaikan dia dibutakan oleh cinta
perempuan tu. Bila perempuan tu tinggalkan dia, dia betul-betul kecewa...
sampaikan dia pernah berjanji depan mama yang dia takkan jatuh cinta lagi. Tapi
bila dia kenal Sha, hati dia dah terbuka semula untuk jatuh cinta. Dia bagitahu
mama dia nak kahwin dengan Sha tapi mama tak izinkan. Mama tak izinkan bukan
sebab mama tak suka Sha, tapi mama takut dia tersilap pilih lagi. Mama tak nak
tengok anak mama kecewa untuk kali kedua. Hati mama ni... tak sanggup nak
tengok anak yang mama tatang dari kecik merana hanya sebab seorang perempuan.
Mama buat keputusan untuk jodohkan
dia dengan Yurul sebab mama dah kenal Yurul sejak dia kecik, mama dah kenal
hati budi dia macam mana. Tapi mama silap... jodoh Sha dengan Fakhrul kuat.
Lepas apa yang jadi, Fakhrul tetap pilih Sha. Kasih sayang antara Sha dan
Fakhrul yang dah bukakan mata mama nilai hati budi Sha yang sebenar.
Malam hari tu, mama tak sengaja
terdengar perbualan Sha dengan Fakhrul. Sejak tu mama yakin, Fakhrul tak silap
buat keputusan. Sha memang yang terbaik untuk dia...”
Menitis air mataku mendengar cerita
mama. Lantas aku memeluknya erat, menzahirkan ucapan terima kasih yang tak
terluah di bibir. “Terima kasih, ma... sebab sudi terima Sha sebagai menantu
mama...”
“Sha bukan cuma menantu mama. Tapi
Sha dah jadi anak mama...” ujar mama.
Aku teresak lagi. Terharu, gembira,
syukur... semua perasaan itu saling bertingkah dalam hatiku. Satu yang aku
pasti, kesabaranku selama ini telah dibalas dengan sesuatu yang berharga oleh
Allah SWT. Alhamdulillah...
Tentang cinta yang datang perlahan
Membuatku takut kehilangan
Kutitipkan cahaya terang
Tak padam diderai goda dan masa
Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti
selamanya...
TAMAT.